Istilah ‘kerajaan-perpaduan’ menjadi panas. Saya sendiri tidak pasti apakah maksudnya. Mungkinkah ia seperti ‘Islam Hadhari’ yang muncul istilah dahulu, maksudnya dicari kemudian. Apapun bagi saya, sebagai seorang muslim saya amat gembira dan bahagia jika sesama muslim dapat berdamai dan mencari jalan ke arah kemaslahatan umat.
Orang yang enggan melihat sesama muslim cuba berdamai ialah manusia yang dirasuk syaitan samada disebabkan dendam kesumat yang tidak habis-habis atau fanatik yang bukan-bukan, atau buruk sangka yang tiada tepinya. Melainkan jika dia dapat buktikan bahawa perbalahan sesama muslim itu lebih besar kebaikan daripada perdamaian. Allah menyebut: (maksudnya)
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).
Jika dahulu perkataan ‘asabiyyah’ itu diwakili oleh ketaksuban kepada kaum atau kabilah sehingga berlaku perbalahan dan peperangan, namun hari ini ‘asabiyyah’ itu menjelma dalam bentuk parti, kumpulan, jamaah dan berbagai lagi bentuk perkumpulan manusia. Lalu manusia berbalah kerananya. Nabi s.a.w bersabda:
“…Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (riwayat Muslim).
Dalam riwayat yang lemah sanadnya (tetapi dikuatkan dengan hadis tadi) dikatakan Nabi bersabda:
“Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah” (Riwayat Abu Daud).
Penyakit ‘asabiyyah bukan sahaja dalam bentuk perkauman arab, atau parsi atau melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada ‘pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk arab atau melayu boleh berpakat dengan bukan orang lain untuk menindas kaumnya.
Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti. Bagitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam. Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam.
Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu’awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan. Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin `Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu`awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina `Ali. Mu`awiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan” (Ibn Kathir, Al-Ba`ith al-Hathith, m.s. 177, Beirut: Dar al-Fikr). Di samping itu, Mu`awiyah sendiri mempunyai hasrat perpaduan di mana beliau berkata:”Siapa yang akan menjamin orang Islam (sekiranya dibunuh ayah-ayah mereka)” (Riwayat al-Bukhari). Ibn Taimiyyah dalam ulasannya menyebut: “Nabi s.a.w. memuji al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya dan menamakannya sebagai sayyid iaitu `tuan’. Ini kerana, Allah dan RasulNya suka dan redha terhadap apa yang al-Hasan lakukan. Andainya peperangan yang berlaku antara orang Islam itu diperintah oleh Allah dan RasulNya, tentu Rasulullah tidak akan memuji langkah perdamaian yang diambil oleh al-Hasan. Kalau peperangan itu suatu yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, bererti al-Hasan telah meninggalkan suatu kewajipan atau perkara yang disukai Allah. Hadis ini adalah dalil yang jelas bahawa apa yang dibuat oleh al-Hasan adalah sesuatu yang terpuji.”(Ibn Taimiyyah, Al-Khilafah wa al-Mulk, m.s. 84).
Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam. Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan PAS dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat. Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita? Jika UMNO dan PAS boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang Nabi s.a.w sebut:
“Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan Tun Abdullah di London dua minggu lepas, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan PAS berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti.
Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat. Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama muslim. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61).
Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?. Saya fikir jika muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri.
Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan `Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan `Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera `Ali menjadi takut. Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya `Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus..sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera `Aisyah dan `Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji. Tentera `Aisyah telah menyatakan: “Tentera `Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera `Ali pula menyatakan: “Tentera `Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak…(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time”.
Fathi Yakan dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam sehinggalah pada tahun 1992.
Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pd tahun 2007.
Beliau telah banyak mengarang buku diantaranya maza ya'ni intiami lil Islam, al-Mutasiqituna fala toriq Da'wah, kaifu nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku.
Aku Insan Ajnabi,
Aku Berasal Dari Tanah Tinggi
Bangsaku menjelajah dunia
Bangsaku pernah menguasai dunia
Kecantikanku menawan sesiapa sahaja
Lemah gemalaiku melembutkan lelaki perkasa
Kecerdikanku, kecantikanku boleh diperniaga
Aku wanita Ajnabi merantau kemana-mana
Mencari rezeki merata dunia
Kuala Lumpur, Paris, Hong Kong aku merata
Pembesar negara kuasai ku
Kukuasai pembesar negara
Sebut sahaja apa berniaga aku tetap disana
Kepercayaan dan akidah sama sahaja
Sekejap muslimah sekejap insaniah
Aku tetap manusia beragama
Manisku dijilat, manisku disedut
Aku rela kerana berniaga
Aku berakidah aku insaniah
Ku tahu siapa yang menyedutku
Manisku masih banyak
Manusia rakus menghirupku
Kadang menggilir kadang digilir
Aku berniaga tak kira siapa
Zuriatku ada
Ku tahu siapa bapanya
Masakan tidak, disarangku dia bertelur
Manisku belum habis dihisap
Sepahku dibuang merata
Badanku dihancur luluh
Tubuhku berkecai rapuh
C4 dipanggil untuk memusnahku
Rohku tetap menjalar
Rohku tetap merayau
Setiap dada media ku buka cerita
Ku tahu siapa pemusnahku
Rohku berulang alik
Entah di Mongolia, entah di Paris
Entah di Shah Alam, entah di Putrajaya
Rohku menjalar terus menjalar
Roh suciku diawang-awangan
Menghinggap siapa sahaja
Tak kira pangkat atau kedudukan
Pemusnahku akan musnah
Keputusan menghadkan setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran maksimum mulai tahun depan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang dipimpin oleh Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah amat keterlaluan kerana menghalang kecemerlangan pelajar untuk lebih maju dengan hanya disebabkan isu remeh yang dibangkitkan iaitu persoalan biasiswa, mengurangkan bebanan ibubapa dan berapa kerat sahaja pelajar yang mengambil lebih 10 mata pelajaran serta berapa kerat sahaja dapat semua A dalam setiap mata pelajaran
Sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat seperti membunuh anak bangsa sendiri kerana kebanyakan pelajar yang mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran adalah dari sekolah agama kerana mengambil mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif. Sebagai contoh seorang pelajar dari Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur atau di Maahad Muhammadi atau mana-mana sekolah aliran agama sudah tentu akan menambah mata pelajaran agama terlebih dahulu kemudian barulah ditambah dengan mata pelajaran lain untuk membolehkan mereka meneroka peluang dalam bidang lain, antara contoh mata pelajaran yang di ambil oleh pelajar sekolah agama seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiyyah, Tasawwur Islam, Bahasa Arab Tinggi / Komunikasi, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia, Fizik, Lukisan Kejuruteraan dan Pendidikan Seni. Keseluruhannya berjumlah 14 mata pelajaran. Sudah terbukti, pelajar-pelajar keluaran sekolah agama berjaya mendapatkan keputusan yang baik walaupun mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran.
Impak dari kenyataan Tan Sri Muhyidin Yassin, kebanyakan pelajar tidak akan menyedari kemampuan yang ada pada dirinya sendiri. Contoh lain, setiap pelajar yang ingin menyambung di Darul Quran JAKIM bagi mengikuti Program Persijilan Tahfiz al-Quran di Darul Quran JAKIM / UIAM diwajibkan mengambil mata pelajaran agama seperti Pendidikan Syariah Islamiyyah dan Bahasa Arab Tinggi / Komunikasi. Selain itu mereka juga wajib mengambil mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi untuk membolehkan mereka menceburi bidang profesional di UIAM. Adakah pada tahun 2011 program ini bakal dibatalkan kerana kenyataan bodoh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri. Bagaimanakah seorang Menteri Pelajaran boleh mengeluarkan kenyataan tersebut sedangkan Program Persijilan Tahfiz al-Quran di Darul Quran JAKIM / UIAM adalah usahasama JAKIM di bawah Jabatan Perdana Menteri dan UIAM di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Tindakan bodoh ini seperti mengkhianati agama dan bangsa sendiri dalam melahirkan profesional huffaz (profaz) seperti ilmuwan Islam terdahulu.
Jika persoalan biasiswa yang dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri, adakah semua mahasiswa mendapat biasiswa sama ada dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau mana-mana agensi kerajaan. Jawapannnya tidak, hanya segelintir sahaja mahasiswa mendapat biasiswa tersebut. Kebanyakan mahasiswa hanya di tanggung oleh ibu bapa mereka sendiri atau mereka sendiri bakal dibelenggu hutang sebaik sahaja tamat pengajian di dalam negara kerana meminjam dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Di sini tidak timbul soal biasiswa kerana kita amat mengetahui mengenai kepayahan untuk mendapatkan biasiswa dari Kerajaan lebih-lebih lagi bagi mahasiswa aliran agama.
Persoalan lain yang dibangkitkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah untuk mengurangkan bebanan kepada ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen kerana pengajaran dalam mata pelajaran elektif tidak dibuat secara konsisten di sekolah. Kita amat mengetahui akan kesusahan hidup keluarga Nik Madihah, namun kejayaan Nik Madihah dalam SPM dengan memperoleh 20 A telah membuka mata semua orang bahawa orang susah boleh membuktikan kejayaan mereka. Jika tuisyen menjadi persoalan bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini adalah persoalan yang masih boleh dipertikaikan kerana berapa ramai pelajar yang masih boleh mendapat keputusan yang cemerlang tanpa mengambil tuisyen.
Satu lagi persoalan yang ditimbulkan oleh Menteri Pelajaran berdasarkan keadaan semasa, jumlah pelajar yang mengambil lebih 10 subjek pada peperiksaan SPM tahun lalu cuma 48,000 berbanding 500,000 yang mendudukinya seluruh negara. Tidak sampai 10 peratus dari jumlah sebenar yang menduduki SPM pada tahun lepas. Jika dikaji secara keseluruhan pelajar dari sekolah agamalah memonopoli 10 peratus tersebut. Di sini kita dapat lihat sikap kerajaan untuk menutup pintu pelajar sekolah agama dari terus bersaing dengan pelajar sekolah biasa. Di zaman dunia tanpa sempadan ini, budaya persaingan menjadi perkara biasa. Maka Menteri Pelajaran sepatutnya mengarahkan kepada setiap sekolah supaya memotivasikan pelajar mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran bukannya menghadkannya. Beliau juga sepatutnya menyuarakan perasaan bimbang kerana peratusan yang terlalu rendah iaitu tidak sampai 10 peratus daripada keseluruhan pelajar mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran bukannya menghadkannya kerana di zaman akan datang bangsa yang maju akan bertambah maju sedangkan rakyat Malaysia khususnya beragama Islam dan berbangsa Melayu akan lebih jauh ketinggalan di belakang.
Akhirnya, saya merayu kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar membatalkan hasrat untuk menghadkan hanya 10 mata pelajaran maksimum dalam SPM yang bakal bermula pada tahun 2010 dan bukannya mengkaji semula. Jangan ditambah amarah rakyat, sudahlah kerajaan melanjutkan lagi 6 bulan sama ada akan meneruskan atau memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sekarang ini ingin menghadkan pula mata pelajaran yang boleh diambil oleh seorang pelajar dalam SPM. Kesabaran rakyat ada hadnya.