AKU CUMA HAMBA HINA LAGI BANYAK DOSA.TIDAK LAYAK BERGELAR PENCINTA_TARBIAH

Sesungguhnya sebaik-baik tarbiah adalah tarbiah Allah.

Sudahkah kamu berusaha untuk bersedia menjadi suami?

Dua hari lepas, semasa makan-makan dengan ahli rumah, timbul perbincangan berkenaan bila dah jadi suami nanti. Biasanya, apabila disebut fasal perkahwinan, orang sibuk membicarakan perihal pasangan yang hendak dikahwininya. Tetapi yang terharunya saya dalam perbincangan tengah makan itu, kami membicarakan bagaimana keadaan diri kami untuk menjadi suami.

“Al-Quran pun tak banyak baca.”

“Masjid pun tak istiqomah pergi”

“Subuh pun liat nak bangun”

“Kekemasan rumah pun susah nak jaga”

Ya. Bagaimana agaknya bila sudah berkahwin? Mungkin orang sibuk berfikir bagaimana mendalamnya cinta mereka kepada pasangan mereka boleh pergi selepas kahwin nanti. Tetapi entah kenapa, saya berfikir apakah aku ini mampu nak didik isteri dan anak? Mampu nak pimpin mereka untuk dapat redha Allah? Mampu nak didik mereka untuk menghala ke syurga?

Kalau kita berhenti pada persoalan mampu atau tidak, sudah bersedia atau tidak, mungkin hingga mati kita tidak akan dapat jawapannya kalau sekadar berfikir-fikir demikian. Maka saya mewujudkan satu persoalan lain yang lebih ‘bumi’ untuk difikirkan.

“Sudahkah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi suami yang baik?”


Realiti sebuah pekahwinan

Seronok bila kahwin. Saya tak pernah nampak lagi orang yang berduka bila hendak berkahwin. Tetapi saya suka, dalam keseronokan perkahwinan, seseorang itu perlu memandang bahawa perkahwinan adalah gerbang kepada dunia yang lebih besar dan panjang. Jangan dilihat bahawa perkahwinan itu adalah Majlis Perkahwinan yang dihadiri ramai orang, tempohnya hanya sehari, disertai pelbagai program dan majlis makan sahaja. Tetapi selepas Majlis Perkahwinan itu wujud satu perjalanan panjang. Dan bukan keseronokan sahaja yang wujud di dalamnya.

Kita akan tinggal dengan pasangan kita dalam kebanyakan masa 24 jam sehari. Tidur dengannya, bangun dengannya, makan dengannya, tinggal bersamanya, dan bila ada masalah serta cabaran kita bersamanya. Dan tiada orang pada saya, bercita-cita berkahwin hanya sehari dua.

Kemudian bila Allah izin dapat anak, dengan anak pun sedemikian. Kita bersamanya dalam kebanyakan masa 24 jam sehari. Dan saya tak rasa ada orang yang nak anak dia mati selepas 2-3 hari.

Bersama mereka. 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 4 minggu sebulan, 12 bulan setahun, dan entah berapa tahun dalam kehidupan kita. Majoritinya mencecah puluhan.

Kalau tak berusaha untuk bersedia, apakah akan terjadi sepanjang pengharungan alam yang panjang itu?


Suami adalah contoh

Bayangkan ya, dalam sepanjang kehidupan kita berumah tangga nanti, kita adalah seorang yang selalu bangun lewat subuh, jarang sungguh membaca Al-Quran, tidak pula menjaga kebersihan, apatah lagi masih suka melakukan dosa, bagaimana agaknya pasangan kita?

Ini adalah tanggungjawab besar selain memberikan nafkah. Menjadi contoh yang baik kepada isteri dan anak-anak.

Saya tidak dapat membayangkan kita bangun lewat Subuh dan isteri ikut bangun lewat sama kerana kita tak bangun awal Subuh. Anak juga kemudiannya terbiasa bangun lewat Subuh sebab kita tak kejutkannya Solat Subuh.

Saya tidak dapat membayangkan kita jarang sungguh membaca Al-Quran sehingga isteri pun rasa tidak mengapa tidak membaca Al-Quran. Anak juga kemudiannya rasa susah hendak suka dengan Al-Quran sebab kita pun jarang membaca Al-Quran.

Saya tidak dapat membayangkan kita masih suka buat dosa, jauh daripada Allah, sehingga isteri pun nanti rasa tidak kisah atas hal yang sama kerana merasakan itu perkara biasa. Anak juga kemudiannya rasa yang dosa itu bukan dosa sebab dia melihat kita melakukannya seakna itu perkara halal dan mendapat pahala sahaja.

Bagaimana? Tidakkah terasa bahawa berusaha ke arah persediaan adalah sesuatu yang urgen?


Yang akan dipersoal di akhirat

Suami, bapa, ketua keluarga, itulah yang paling berat persoalannya di hadapan Allah kelak. Satu perkara yang kita perlu ingat adalah kita akan dibangkitkan di hadapan Allah dan akan dipersoalkan. Maka bagaimana agaknya persediaan kita untuk menjawab persoalan Allah akan hal keluarga kita?

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” Surah At-Tahrim ayat 6.

Bagaimana pula kalau kita yang menjadi penyebab mereka ke neraka? Bukankah itu menyedihkan?

“Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan keluarga mereka pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.” Surah Az-Zumar ayat 15.

Adakah kita hendak menjadi orang yang merugikan diri dan keluarganya sekali?

Ketahuilah. Kahwin itu bukan sekadar majlis perkahwinan, dan tanggungjawabnya bukan sekadar nafkah.

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Toha ayat 132.

Dan yang hendak memerintah, pastinya perlu melakukannya bukan?


Memang kalau nak tunggu sempurna tak akan sempurna

Memang kalau sekarang kita tanya diri kita, apakah aku telah sempurna untuk berkahwin, nak jadi contoh, memang tak akan kita mampu jawab sempurna. Jadi, apakah kita tidak boleh berkahwin sebelum sempurna?

Tidak. Saya tidak kata demikian. Memang tidak akan ada manusia yang sempurna.

Tetapi setahu saya, ada manusia yang berusaha ke arah kesempurnaan itu.

Sebab itu, persoalan yang saya timbulkan adalah, apakah kita telah berusaha untuk bersedia?

Semasa bujang kita mula jaga kekemasan, semasa bujang kita sudah usaha menyelesaikan hal Bangun Subuh, semasa bujang kita usaha memperkuatkan hubungan dengan Allah, semasa bujang kita usaha biar diri cinta dengan Al-Quran dan kebaikan, semasa bujang kita sudah usaha meninggalkan dosa-dosa dan memperkemaskan banyak amalan.

Apakah kita telah berusaha membiasakan diri kita untuk menjadi contoh?


Penutup: Saya percaya bahawa rumah tangga yang terbaik, adalah yang Allah redha

Saya percaya bahawa, rumah tangga yang terbaik adalah yang mendapat keredhaan Allah SWT. Dan saya pula percaya bahawa manusia tak akan mampu menjadi baik tanpa usaha. Sebab itu saya kira, hendak membina rumah tangga yang baik, maka manusia perlu berusaha untuk bersedia.

“Ala bro, lepas kahwin nanti baru fikir lah”

Ya. Mungkin boleh. Tetapi bagaimana agaknya kalau terlewat? Baru hendak berubah, anak dan isteri pula telah pekat dengan amal kita sebelum berubah. Bagaimana?

Mengapa bila dikurniakan masa ketika bujang, tidak kita gunakan?

“ala, benda ni benda dah kahwin la bro. Pelajar-pelajar kena fikir belajar aja”

Oho. Maaf. Guru saya kata, hal perkahwinan kena fikir semasa dari tingkatan satu lagi. Ia menjana kematangan. Bukan fikir nak kahwin dengan siapa. Tetapi fikir nak hidup macam mana lepas kahwin nanti.

Maka, apa kata kita jangan lewat-lewatkan usaha kita? Mengapa tidak dari sekarang?

Saya teringat kata-kata seorang ulama’:

“Ada beza orang yang beriman di awal Islam, dengan orang yang beriman selepas Fathu Makkah.”

Fikir-fikirkan.

“Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Toha ayat 132.

sumber: http://ms.langitilahi.com/perkongsian-bersedia-menjadi-suami/

Mesej dr no x dikenali:Jagalah hati wahai sang daie

Irama messagetone telefon bimbit tiba-tiba bergema.

One message receive.

Saya tekan punat view. Oh ada mesej dari no tidak dikenali.

"Assalamualaikum, sedikit renungan untuk kita semua. Bila daie tidak menjaga hatinya, maka rosaklah dirinya,terfitnahlah Islam kerananya dan runtuhlah dakwah di tangannya. Ya akh.. kejayaan dakwah bukanlah terletak pada kepandaian seorang daie berkata-kata tapi terletak pada keikhlasan dan kebersihan hatinya. maka waspadalah hatimu agar ia terselamat dari kekotoran nafsu yang menipu.."

Saya terkejut tetapi pada yang sama rasa gembira menyelinap di hati. Sebuah nasihat yang amat-amat berguna padaku, getus hati. Saya terkejut kerana saya jarang mendapat mesej berbentuk begini.Tapi saya tidak tahu sapa pemilik no berkenaan,tertanya-tanya sapakah gerangan.

Saya tekan punat reply.

Salam,sapa nta/nti :-)

Message sent.

Kemudian saya menerima balasan
Sapa x penting yg pnting apa disampaikan.

Benar. Benar sekali kandungan mesej itu. Saya baca berulang kali.

Sebagai motivasi. Saya muhasabahkan diri kembali.

Memang hati adalah tempat segalanya tersimpan dan tempat bermulanya segala tindakan. Hati adalah pusat kawalan manusia.

Benarlah sabda baginda nabi SAW.

Sesungguhnya di dalam jasad manusia ada seketul daging. Jika baik ia, maka baiklah seluruh anggota. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh anggota badan. ketahuilah ia adalah hati.

Saya yakin hadis ini sebilangan besar dari kita sudah menghafalnya dek kerana banyak kali di ungkapkan oleh ustaz dan di dalam kuliah-kuliah ilmu.

Doktor pakar dalam penyakit hati, Al Imam Al Ghazali telah menyatakan di dalam salah satu kitab besar karangannya, Ihya' Ulumuddin:

Apabila hati di dalam kecelaruan, seseorang itu tidak mampu untuk melaksanakan ibadat dan pekerjaan-pekerjaan lainnya dengan sempurna.

Maka sangat jelaslah kejernihan hati dan ketenangan hati itu maha penting sekali bagi semua daie. Perlu ditekankan, semua manusia yang melafazkan kalimah syahadah adalah daie,bukan hanya tertakluk kepada yang bergelar ustaz. Minda mesti dibebas dari pemikiran ini.

Kematian hati

Jujurnya saya merasakan saya tidak layak untuk membicarakan tentang penyakit hati dan ubat-ubat hati. Tetapi kerana rasa ingin berkongsi dari apa yang saya dapat dari kuliah agama, buku-buku dan lain-lain, saya lontarkan sedikit coretan mengenai ia. Dengan harapan ia memberi manfaat dan kebaikan kepada saya dan sahabat-sahabat.

Hati umpama tumbuh-tumbuhan.

Andai tumbuh-tumbuhan memerlukan beberapa elemen-elemen yang penting untuk meneruskan hidup dan agar dapat tumbuh subur dan membesar. Vitamim, garam mineral, air, karbon dioksida dan yang lain-lain adalah elemen penting bagi sebuah pokok.

Bagaimana kalau ia tidak dibekalkan dengan semua itu. Hukum alam mengatakan ia pasti layu dan mati. Ya, ia pasti mati akhirnya. Mana mungkin ia dapat hidup tanpa semua keperluan itu. Kecuali dengan izin sang pencipta.

Hati pun begitu.

Ia amat- amat memerlukan beberapa elemen untuk terus hidup segar dan sihat. Jika tidak ,ia juga akan mati.

Hati yang mati ada beberapa tanda. Ulama' telah mengariskan beberapa tanda hati yang mati. Antaranya merasa seronok bila melakukan dosa dan maksiat, suka mengingkari perintah Allah, suka bertengkar pada sesuatu yang tidak memberi manfaat kepada agama, sukar untuk mengalirkan air mata taubat dan benci kepada golongan alim ulama'.

Ada tanda-tanda ini pada kita??

Tepuk dada tanya iman.

Hati yang mati mampu dihidupkan kembali. Tidak seperti tumbuhan tadi yang matinya ia tidak akan hidup kembali. Hati memang berlainan.

Beberapa perkara mesti kita tahu dan amalkan untuk menghidupkan kembali hati yang layu dan mati.

Imam Ibnu 'Athaillah as Sakandari dalam kitabnya, Al Hikam menggariskan beberapa panduan untuk menghidupka kembali hati.

Katanya :

Hidup hati itu dengan tiga perkara. Zuhud dengan dunia, zikrullah dan bergaul dengan aulia Allah.

Selain itu ulama' - ulama' lain menggariskan beberapa lagi panduan merawat hati ini.

Antaranya, membaca dan memahami ayat-ayat Allah di dalam Al Quranul Karim. Mendekatkan diri dengan amalan-amalan sunat, memperbanyakkan zikir dan memohon ampun padaNya, mengamalkan perintah Allah dengan ikhlas dan memastikan sumber makanan dan pakaian dari sumber-sumber yang halal.

Selain itu menundukkan pandangan dari melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Mengenai hal ini, saya teringat satu lagu yang dinyanyikan kumpulan Hijjaz.

Mata Hati

Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih

Hati kalau terlalu bersih
Pandangannya kan menembusi hijab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah
Tapi hati bila dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran
Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia


Sebenarnya masih banyak tanda matinya hati dan panduan membersihkan dan menghidupkan hati. Sangat banyak. Bukalah buku-buku agama dan hadirlah masjis-majlis ilmu. Di samping ia membersihkan hati ia memberi ilmu yang amat bernilai.

Sekadar itu sahaja yang saya rasa dapat saya kongsi bersama. Semoga Allah mengira amalan kecilku ini sebagai amalan kebaikkan yang besar ganjarannya disisiNya.

Pesan terakhir saya pada diri dan sahabat,. Kita adalah daie yang dipilih oleh Allah, marilah kita sama-sama membersihkan hati dan sucikan kembali niat dihati dalam melakukan kebaikkan dan mencegah kemungkaran. Wallahu 'alam.

Wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan aku…

Dipetik utk perkongsian bersama dan uhasabah utk semua lelaki terutama pemilik blog ini http://ms.langitilahi.com/wahai-lelaki-jangan-kamu-ganggu-perempuan-aku/

Wahai lelaki, perempuan itu perlu dijaga, dihormati, dilindungi... Mereka memegang anak-anak masa hadapan

Sepanjang kehidupan saya, saya ada jumpa pelbagai jenis lelaki. Tapi, yang menariknya, sepanjang hidup saya ini juga, saya sukar hendak berjumpa lelaki yang tidak teruja kepada perempuan.

“Ini fitrah la bro, fitrah”

Ya. Sebab fitrah lelaki, pasangannya mesti adalah perempuan. Dua jantina ini macam magnet kutub utara kutub selatan. Saling tarik menarik.

Hal ini menyebabkan kita boleh melihat, golongan-golongan lelaki yang akan bersiul bila perempuan cantik lalu, ada pula yang minta nak jalan sekali, kadang-kadang sengaja ambil tempat duduk di dewan kuliah sebelah perempuan dan berusaha bersungguh-sungguh nak buat perempuan itu bersembang dengannya.

Persoalannya, apakah benar begitu caranya kita melayani fitrah kita?

Saya tidak nampak itu melainkan hanya gangguan.

Maka dalam post ini, saya hendak nyatakan kepada kamu wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan-perempuan ini.

Di dalam Surah An-Nur, ayat 30, Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Ayat selepas itu, ayat 31, Allah SWT berfirman pula kepada perempuan perkara yang sama:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka…”

Kenapa, Allah menegur lelaki terlebih dahulu dalam hal ini?

Kerana biasanya, dalam hal ini, lelaki yang akan tumbang terlebih dahulu. Lelaki kadang-kadang mudah jatuh dengan pandangannya. Dia mudah rasa teruja.

Sebab itu, kalau kita lihat, yang bersiul-siul adalah lelaki kepada perempuan. Saya tak pernah nampak lagi perempuan bersiul kepada lelaki. Sebab tu yang biasa dilihat adalah lelaki yang tanya kepada perempuan: “Boleh I duduk sebelah you?” Sebab itu juga yang biasa dilihat adalah lelaki yang offer: “Jalan sorang je, nak teman?”

Tetapi lihatlah apa pesanan Allah kepadamu wahai lelaki.

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)…”

Jika kamu beriman, maka kamu akan menundukkan pandangan kamu, dan menyekat nafsu kamu dari menguasai diri.

“Ini fitrah la bro. Kena cepat la mengorat. Nanti terlepas”

Ya. Saya akui itu fitrah. Saya tak nafikan. Saya tidak pernah menyalahkan fitrah itu. Tetapi, semua perkara ada caranya. Contohnya: Fitrah manusia adalah Islam. Tapi kita tidak boleh pakai hentam sahaja mengamalkan Islam. Ada cara solatnya, ada cara zikirnya, ada cara buat kebaikannya. Begitu juga dalam fitrah lelaki perempuan ini. Sudah ada batas-batas yang Islam tetapkan untuk kita.

“Kalau ikut batas-batas ni, lembab la bro. Kang orang kebas”

Hem… Lembab kah? Ya. Saya akui, memang lambat sikit kalau ikut jalan yang syara’ bagi.

Tapi, pernah dengar tak kata-kata: “Biar lambat, asal selamat”?

“Itu kat jalan raya la bro, masa memandu”

Ya, kita ni dalam ‘jalan raya’ hendak pulang kepada akhirat, dan kita sedang ‘memandu’ diri kita untuk pulang kepada Allah.

Islam sudah mengaturkan batas pergaulan lelaki dan perempuan. Ada step-stepnya kalau nak ambil perempuan jadi isteri. Kenapa semua itu Islam susun? Sebab nak jaga kemaslahatan manusia. Cuba kamu fikir, kalau kamu main mengorat je perempuan yang kamu jumpa, perempuan yang lalu depan kamu, perempuan yang kamu nampak cantik, banyak kebaikan atau banyak keburukan?

Mana kamu tahu perempuan tu single? Mana kamu tahu perempuan tu belum bertunang/kahwin ke? Sekali kamu mengorat, jatuh hati pula perempuan itu pada kamu, kan dah haru biru rumah tangga/hubungan perempuan itu dengan suami/tunangnya? Kamu dah rosakkan hidup orang. Kemudian, bila kamu mengorat-mengorat ni, nama kamu jadi baik ke? Atau orang akan cop kamu dengan pelbagai gelaran yang tidak menyenangkan? Kamu rosakkan pula diri kamu, dan kamu dah sia-siakan ibu bapa kamu yang membesarkan kamu dengan susah payah.

Tambahan, stylo mengorat ni, di mata saya pun, tak bersih langsung. Apa yang kamu nak harapkan dari jalan yang Allah larang? Ada ke keberkatan di dalamnya? Adakah Allah akan kira ‘mengorat’ kamu tu sebagai amal? Bagaimana kondisi iman kamu ketika mengorat? Ketika kamu bersiul-siul, offer itu ini, duduk sebelah perempuan, bagaimana hubungan kamu dengan Allah?

“Ala bro, nanti bila dah dapat, dah kahwin, kita taubat la”

Adakah sebuah rumah itu, akan bertahan lama dengan bahan binaan yang tidak berkualiti? Adakah sebuah rumah itu cantik, dengan hiasan-hiasan kotor? Dan belum tentu lagi, kita ‘mampu untuk bertaubat’ atau ‘sempat untuk bertaubat’ atau ‘teringat untuk bertaubat’ nanti.

Jangan sempitkan pandangan kamu wahai lelaki. Jangan gopoh mengejar masa hadapan. Kita tidak mahu masa hadapan yang lekeh. Kita tak mahu mendirikan hubungan kita dengan perempuan hanya kerana suka, hanya kerana dia cantik, hanya kerana tak tahan nafsu. Apa yang kamu hendak buat bila cantik perempuan itu pudar nanti? Apa yang kamu hendak buat bila kamu tidak lagi bernafsu dengannya nanti? Lebih besar lagi, apakah kamu rasa, dengan keadaan kamu, kamu boleh membawa pasangan kamu itu berdiri di hadapan Allah dengan baik?

Wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan-perempuan di hadapan kamu.

Jika kamu inginkan perempuan untuk menemani kamu, apa kata kita ambil jalan yang Islam tetapkan. Walaupun diakui agak lambat, tetapi jalan ini amat bersih. Jalan yang menjaga hati. Dalam masa kita mencintai perempuan itu, hubungan kita dengan Allah tidak terganggu. Mengambil jalan yang Islam tetapkan ini juga, menunjukkan keseriusan dan kematangan anda. InsyaAllah, Allah akan memberkati bukan setakat anda dan pasangan anda sahaja. Tetapi Allah akan berkati seluruh keluarga anda, harta anda, rezeki anda, keturunan anda, kerana anda telah memulakan perjalanan membina keluarga ini dengan jalan yang diredhai-Nya. Mustahil Allah akan membiarkan hamba-hamba yang taat kepada-Nya.

Apa yang ada bila kamu mengorat-ngorat? Apa yang kamu dapat? Kamu sebenarnya telah merosakkan diri kamu.

Malah, secara tidak langsung, kamu merosakkan nama keluarga kamu di mata manusia, merosakkan pula taraf lelaki di mata dunia, dan merosakkan akhirat kamu di hadapan-Nya.

Hentikanlah.

Seorang ibu ada menceritakan kepada saya perihal anak perempuannya di universiti.

Katanya: “Makcik risau la Hilal dengan keadaan sekarang ni. Anak makcik tu, entah berapa kali kena kacau. Bila jalan, ada lelaki minta nak teman. Bila duduk dalam kuliah, ada lelaki nak minta duduk kat sebelah. Makcik tak suka la lelaki macam tu. Tak soleh.”

Kalau saya, saya pun tak suka. Bayangkan wahai lelaki, orang buat anak perempuan kamu macam itu? Atau ada lelaki tiba-tiba mengorat mak kamu? Atau ada lelaki lain nak ‘tackle’ isteri/tunang kamu? Kamu puas hati? Boleh kah kamu kata pada diri kamu ketika itu: “Biarlah, dah fitrah…”

Boleh kah?

Sebab itu, Allah melarang kita mengikuti langkah-langkah syaitan dan mengambil Islam itu secara sempurna. Nak mengorat perempuan pun, kena ikut cara Islam ajarkan. Lebih selamat, lebih terjaga, dunia dan akhirat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” Surah Al-Baqarah ayat 208.

Jadi wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan aku.

Kenapa saya kata ‘perempuan aku’? Khas kepada orang yang saya suka sahajakah? Khas kepada adik perempuan saya sahaja kah?

Tidak.

Saya tidak suka lelaki, menganggu mana-mana sahaja perempuan yang ada. Saya letakkan ‘perempuan aku’ kerana saya rasa bertanggungjawab atas perempuan-perempuan yang ada. Perempuan di mata saya amat mulia. Jadi saya tidak suka perempuan itu rosak, dirosakkan. Sebab perempuan, mereka akan melahirkan anak-anak yang membentuk masa hadapan dunia. Kalau perempuan rosak, maka rosak lah masa hadapan kita.

Pada saya, anda pun wahai lelaki, perlu merasakan apa yang saya rasakan.

Allah SWT telah berfirman:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan,” Surah An-Nisa’ ayat 34.

Maka bro, apa kata kamu berhenti mengorat-ngorat ni.

Kita lelaki, dipertanggungjawabkan menjaga perempuan dengan baik. Bukan merosakkan mereka.

Kalau suka, jom kita ambil cara yang bersih, cara yang baik, cara yang diredhai Allah SWT.

Saya berani berjanji yang anda akan menjadi lebih bahagia, lebih tenang, lebih senang apabila anda mengikuti apa yang telah Allah tetapkan. Anda perlu yakin, kesabaran anda dalam mengikuti perintah-Nya, akan terbayar. Sebab janji-janji Allah itu adalah benar. Jangan anda rasa terganggu bila melihat orang lain melanggar perintah-Nya. Kita, teruskan dengan ketaatan kita.

“Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.” Surah Ar-Rum ayat 60.

Tundukkanlah pandangan, jagalah kemaluan, pertahankanlah kehormatan.

Kita lelaki, adalah ketua keluarga, pemimpin kepada perempuan. Kalau kita rosak wahai lelaki, maka keluarga itu akan rosak dan tidak stabil, seperti kapal kehilangan nakhoda.

Mari sama-sama kita lakar masa hadapan kita, dengan lakaran keimanan, ketaatan kepada-Nya.

Prejudis - Sikap Terpuji

Kebelakangan ni rasa excited nak menulis pasal psikologi.
Taktau apesal. Mungkin terlalu seronok layan Liar Game 2?
Haha.

Topik malam ni adalah prejudis.
Mari kita menafsirkan terma prejudis mengikut pemikiran
songsang yang diajar oleh Doktor Hafiz.

Mengikut istilah psikologi, prejudis boleh ditafsirkan sebagai
perasaan emosi negatif yang bertindak balas terhadap
seseorang individu atau sesebuah kumpulan.

Jadi misal kata kamu pegi ke pasar dan
ternampak seorang makcik beli ayam 3 ekor,

"Kuat makan. Patutlah gemuk."

Itu prejudis namanya.

Juga, jika kamu berada dalam barisan sewaktu perhimpunan
sekolah, secara automatik kamu akan menjauhkan diri daripada
rakan-rakan berdekatan yang baru selesai main polis sentri.

"Pengotor punya budak. Bilalah nak membesar."

Padahal tak sedar yang diri kamu tu Darjah Satu jugak.

Contoh-contoh di atas merupakan bentuk situasi prejudis
yang biasa berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia
tanpa mengira status quo, taraf kerakyatan mahupun domisil.


Mengambil contoh situasi yang berlaku di KFC Seksyen 2
Shah Alam pada pukul 3 pagi di mana si penulis bersama-sama
rakan sekelas 'overnight' di tingkat atas.

Datanglah 2 orang dewasa yang boleh kata dah berkerjaya kot.
Sorang kurus, sorang gemuk.

Maka yang gemuk ni pun dengan selambanya mengacau kakak
KFC yang tengah kemas meja. Ini adalah contoh orang dewasa
yang memerlukan kasih sayang yang lebih. Kasihan.

Ketika itu, jika pelanggan lain marah dengan kebisingan si gemuk
itu, mungkin mereka takkan meluahkan secara terang-terangan.
Terlintas dalam fikiran, mungkin;

"Ape la gemuk ni. Takde didikan kat rumah ke?"

Dengan itu, unsur prejudis telah ditampilkan.
Maka rasminya dosa boleh dikutip secara free.
Ringkasnya, prejudis boleh membuatkan anda mengumpat.

Walau bagaimanapun, prejudis jugak ada kelebihan.

Katakan kamu ternampak seorang perempuan bertudung labuh
berjalan di depan kamu. Maka cepat-cepatlah berfikiran begini;

"Perempuan ni bajet je lebih. Tunjuk alim konon.
Entah-entah tutup perut mengandung dengan tudung labuh."

Maka secara tak langsung kamu telah menyumbang pahala
kepada beliau. Baik kan bersikap prejudis ni? Kan? Kan?

Oh. Sila baca penulisan ini dengan pemikiran yang songsang.
Jika anda membaca dengan pemikiran normal, pastinya anda
akan menafsirkan entry ini sebagai sesat.

Apakah dia Jodohku? Seorang akhwat yang ada di doaku?

Inilah goresan pena dari sang ikhwan (ana) yang mendambakan akhwat sholehah, yang bisa bersama untuk mencintai Mu Ya Robbi dan mencintai Muhammad Shalallahu’alaihi wassalam.

Yaa……Rabbi……..
Aku berdoa untuk seorang akhwat yang akan menjadi bagian dari hidupku
Seseorang yang sangat mencintaiMu lebih dari segala sesuatu
Seorang yang akan meletakkanku pada posisi di hatinya setelah Engkau dan Muhammad shallahu’alaihiwasalam
Seseorang yang hidup bukan untuk dirinya sendiri, tapi juga untuk-Mu dan orang lain

Wajah, fisik, status atau harta tidaklah penting
Yang terpenting adalah hati yang sungguh mencintai dan dekat dengan Engkau
Dan berusaha menjadikan sifat-sifat baikMu ada pada pribadinya
Dan ia haruslah mengetahui bagi siapa dan untuk apa ia hidup
Sehingga hidupnya tidak sia-sia

Seseorang yang memiliki hati yang bijak, tidak hanya otak yang cerdas
Seseorang yang tidak hanya mencintaiku, tapi juga menghormatiku
Seorang yang tidak hanya memujaku, tetapi juga dapat menasehatiku
Seseorang yang mencintaiku bukan karena fisikku, hartaku atau statusku tapi karena Engkau

Seorang yang dapat menjadi sahabat terbaikku dalam setiap waktu dan situasi
Seseorang yang membuatku merasa sebagai lelaki shalehah ketika aku berada di sisinya
Seseorang yang bisa menjadi asisten sang nahkoda kapal
Seseorang yang bisa menjadi penuntun kenakalan balita yang nakal
Seseorang yang bisa menjadi penawar bisa
Seseorang yang sabar mengingatkan saat diriku lancang

Ya..Rabbi……
Aku tak meminta seseorang yang sempurna
Hingga aku dapat membuatnya sempurna di mataMu
Seseorang yang membutuhkan dukunganku sebagai peneguhnya
Seorang yang membutuhkan doaku untuk kehidupannya
Seseorang yang membutuhkan senyumku untuk mengatasi kesedihannya
Seseorang yang membutuhkan diriku untuk membuat hidupnya lebih hidup

Aku tidak mengharap dia semulia Fatimah Radhiyallahuanha, tidak setaqwa Aisyah Radhiyallahuanha ,Pun tidak secantik Zainab Radhiyallahuanha, apalagi sekaya Khodijah Radhiyallahuanha.
Aku hanya mengharap seorang akhwat akhir zaman,
Yang punya cita-cita mengikuti jejak mereka,
Membangun keturunan yang sholeh,
Membangun peradaban,
dan membuat Rasulullah shallahu’alaihiwasalam bangga di akhirat

Karena aku sadar aku bukanlah
orang yang semulia abu baker Radhiyallahu,
Atau setaqwa umar Radhiyallahu, pun setabah Ustman Radhiyallahu,
Ataupun sekaya Abdurrahman bin auf Radhiyallahu, setegar zaid Radhiyallahu
Juga segagah Ali Radhiyallahu, apalagi setampan usamah Radhiyallahu.
Aku hanyalah seorang lelaki akhir zaman
yang punya cita – cinta

Ya…..Rabbii …….
Aku juga meminta, Jadikanlah ia sandaran bagiku
Buatlah aku menjadi ikhwan yang dapat membuatnya bangga
Berikan aku hati yang sungguh mencintaiMu sehingga aku dapat mencintainya dengan sepenuh jiwaku

Berikanlah sifat yang lembut, sehingga auraku datang dariMu

Berikanlah aku tangan sehingga aku mampu berdoa untuknya
Berikanlah aku penglihatan sehingga aku dapat melihat banyak kebaikan dalam dirinya
Berikanlah aku lisan yang penuh dengan kata-kata bijaksana,
Mampu memberikan semangat serta mendukungnya setiap saat

kokohnya benteng tidak bisa dibangun dalam semalam, namun bisa hancur dalam sedetik
Kota Baghdad tak dibangun dalam sehari, namun bisa hancur dalam sekejap

Perkawinan tak dirajut dalam pertimbangan sesaat, namun bisa saja terberai dalam sesaat
Pernikahan, bukanlah akhir dari sebuah perjalanan
Tapi awal sebuah langkah
Karenanya, jadikanlah kelak pernikahan kami sebagai titian
Untuk belajar kesabaran & ridho-Mu, ya Rabbi

Dan bilamana akhirnya kami berdua bertemu, aku berharap kami berdua dapat mengatakan:
” Betapa Maha Besarnya Engkau karena telah memberikan kepadaku pasangan yang
dapat membuat hidupku menjadi sempurna”.

Aku mengetahui bahwa Engkau ingin kami bertemu pada waktu yang tepat
Dan Engkau akan membuat segalanya indah pada waktu yang telah Engkau tentukan….

Astaghfirullah, Wallahu’alam bisshowab

Dari ikhwan yang membutuhkan ampunan Allah azzawajalla, dan mengharapkan doaku dikabulkanNYA untuk mendapatkan istri yang sholehah.

Hakikat CINTA

“Cintalah cinta yang dihati,
Itu cinta yang sejati.
Cinta di mata cinta palsu.”
'CINTA' adalah suatu perkataan yang tidak asing lagi kepada manusia. Manusia tidak boleh lari dari perasaan mencintai ataupun dicintai oleh seseorang. Cinta memainkan peranan yang besar dalam kehidupan.

Manusia tidak boleh lari dari masalah cinta ini. Tetapi tahukah kita, apa dia hakikat cinta yang sebenar. Pada siapa hendak meletakkan cinta?

Cinta adalah sesuatu perasaan yang suci yang telah Allah kurniakan pada setiap manusia. Maka berhaklah manusia untuk meletak atau memberikan cinta kepada sebarang manusia. Tetapi biarlah cinta itu selaras dengan kehendak Allah. Agar dengan cinta juga. Ianya menjadi ibadah kepada kita.

Lihatlah bagaimana Allah mencipta Hawa untuk dijadikan pasangan hidup Nabi Adam. Nabi Adam keresahan hidup di syurga , kerana tidak mempunyai teman. Apabila Nabi Adam menuruti kehendak Hawa memakan buah khuldi, lantas terlantar mereka berdua di dunia yang fana ini.

Mungkin ini adalah pengorbanan cinta di antara mereka berdua. Namun seribu penyesalan dan taubat telah mereka lakukan. Sekarang Allah telah menerima taubat dan penyesalan mereka.

Terjalinnya hubungan cinta antara Nabi Adam dan Hawa, maka keturunan manusia dapat membiak hingga ke hari ini. Wujudlah kita di hari ini lantaran adanya peranan cinta.

Rasa cinta pasti ada pada setiap makhluk yang bernyawa. Cuma kadang-kadang manusia ini, terlalu menurukan kehendak cinta, hingga menggagalkan kehidupan mereka. Cinta nafsu terlalu diperturutkan. Hingga ada yang sanggup membunuh diri bahkan kadangkala membunuh orang lain kerana cinta.

Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya adalah sebenar-benar cinta. Selainnya adalah palsu dan tidak boleh menyelamatkan seseorang itu. Cinta kepada apa yang wujud di dunia ini, semuanya tidak kekal. Bagaimana kuat pun hubungan seseorang itu terhadap seseorang yang lain atau kepada benda yang ada di dunia ini, itu semua tidak berpanjangan.

Apabila kita mati apa yang kita cintai akan ditinggalkan di dunia ini. Hanya kain kafan sahaja yang layak dibawa oleh manusia ke dalam kubur. Selebihnya adalah amalan kerana Allah sahaja yang dapat dijadikan bekalan untuk dihadapkan kepada Allah yang Maha Kuasa.

Selain itu tidak akan dapat menolong kita kecuali dengan amalan-amalan yang telah diterima oleh Allah.

Kembalilah manusia kepada mencintai Allah, dengan mengikut segala perintah Allah. Membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang telah dilarang oleh-Nya. Disebalik menyintai Allah, manusia lain akan turut menyintai dan menyayangi kita. Kejarlah cinta Allah, agar kita dicintai!