AKU CUMA HAMBA HINA LAGI BANYAK DOSA.TIDAK LAYAK BERGELAR PENCINTA_TARBIAH

Sesungguhnya sebaik-baik tarbiah adalah tarbiah Allah.

Tarbiah Anak Bermula Dalam Kandungan

ANAK adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada kedua ibu bapa. Justeru, sebagai ibu bapa seharusnyalah mereka mengambil berat pendidikan anak demi memastikan kehidupan mereka sentiasa berada dalam keredaan dan pemeliharaan Allah.
Perspektif Islam, pendidikan anak adalah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka dengan berteraskan nilai baik dan terpuji yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Tujuannya adalah bagi melahirkan insan rabbani yang beriman, bertakwa dan beramal salih.

Falsafah pendidikan Islam sememangnya menekankan aspek rohani dan jasmani sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Ia membabitkan beberapa peringkat bermula dari dalam kandungan sehingga lahir dan menjadi dewasa.

Sebelum kelahiran anak itu lagi, ibu bapa perlu menyediakan tempat sesuai untuk mengasuh dan membesarkan anak sebaik-baiknya. Ia memberi makna bahawa dunia pertama bagi seorang kanak-kanak adalah rumah ibu bapanya sendiri. Bagi memastikan kesempurnaan dalam pendidikan anak, ibu bapa perlu membentuk suasana yang harmoni dan bercirikan keIslaman dalam kehidupan berumahtangga. Ia boleh dilakukan sejak di awal perkahwinan lagi.

Sekiranya setiap suami isteri menghayati dan mempraktikkan nilai keIslaman dalam kehidupan keluarganya, mudahlah mereka mendidik anak dengan benih ajaran Islam. Sebaliknya, jika pasangan itu gagal menerapkan nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga, amat sukar bagi mereka untuk mentarbiah anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam.

Atas dasar ini Rasulullah mengingatkan seseorang lelaki yang ingin berkahwin supaya membuat pilihan tepat iaitu memilih perempuan yang mempunyai pegangan agama dan bukan semata-mata kerana paras rupa, keturunan atau harta. Sabda Rasulullah bermaksud: "Wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia lebih menguntungkan kamu (lebih utama)." (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Pendidikan sebelum kelahiran

Secara umumnya, proses pendidikan bermula ketika bayi berada dalam kandungan ibunya. Tarbiah atau pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian iaitu:-

· Bagi ibu yang sedang mengandung amat digalakkan supaya memperbanyakkan bacaan al-Quran terutama surah Yusuf, Maryam, Luqman dan At-Taubah. Ini kerana, surah itu mengandungi pelbagai kelebihan dan maksud tersirat mempunyai makna yang besar dalam pentarbiahan anak.

· Ibu turut disarankan sentiasa memperbanyakkan doa kepada Allah anak bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang salih, berilmu, beriman, berakhlak mulia dan taat kepada kedua ibu bapanya. Ini penting untuk memastikan keluarga dibentuk sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah.

Ibu bapa juga mesti memastikan rezeki yang mereka peroleh datang daripada sumber yang halal dan bersih. Ini amat mustahak kepada pembentukan dan pertumbuhan anak yang bakal dilahirkan supaya ianya datang dari darah daging yang halal lagi berkat. Ia juga memberi kesan kepada pembentukan peribadi anak apabila besar kelak.

· Ibu hamil juga perlu memakan makanan berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri perlu diutamakan demi menjamin kesihatan anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititikberatkan oleh Islam kepada ibu berada dalam keadaan sedemikian yang sudah tentunya menghadapi pelbagai kesukaran dan kepayahan. Ini terbukti dengan kelonggaran yang diberikan Islam untuk ibu mengandung untuk berbuka puasa (pada Ramadan) sekiranya berasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.

· Ketika tempoh masa mengandung juga, ibu perlu menyesuaikan diri dengan perubahan berlaku ke atas dirinya. Pada waktu sebegini juga sememangnya keadaan ibu agak berbeza daripada waktu biasa terutama bagi mereka yang bakal melahirkan anak pertama.

Antaranya mungkin kehilangan selera makan, mudah sensitif dan berdebar. Pada ketika ini suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri dengan sentiasa berada di sisi dan memberi dorongan kuat kepadanya.

Pendidikan selepas kelahiran

Selepas anak selamat dilahirkan, ia hendaklah segera diazankan di telinga kanannya dan diiqamatkan di telinga kirinya. Dalam satu riwayat oleh Abu Rafi yang bermaksud: "Aku melihat sendiri Rasulullah mengazankan Hasan bin Ali di telinganya ketika dia baru dilahirkan oleh Fatimah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada hari ketujuh kelahirannya pula, ibu bapa disunatkan untuk bersedekah dengan melakukan ibadat akikah untuk anak mereka iaitu dengan menyembelih seekor kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Setiap anak yang baru dilahirkan bergantung pada aqiqahnya. Hendaklah diaqiqahkan dengan menyembelih kambing pada hari ketujuh, diberi nama pada hari itu dan dicukur kepalanya". (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasai)

Seterusnya apabila anak itu mulai meningkat umurnya, ibu bapa perlulah lebih peka kepada teknik pendidikan yang lebih luas dan menyeluruh. Pada tahap ini, pengisian antara keperluan rohani dan jasmani perlu didedahkan serentak dan diseimbangkan.

Ia kerana, kanak-kanak lazimnya akan belajar (mengikut) berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang dilakukan oleh individu di sekelilingnya terutama dari ibu bapanya.

Antara panduan yang boleh diikuti oleh ibu bapa terhadap tarbiah yang perlu diterapkan dalam diri anak pada peringkat ini termasuk:

. Mendidik anak supaya taat dan menghormati kedua ibu bapanya dengan menimbulkan kesedaran kepada mereka bahawa pengorbanan ibu bapa terhadapnya amat besar dan mereka perlu memahami dan menghormati kedua-duanya.

Amalan ini dapat mengeratkan hubungan mesra dan kasih sayang antara ibu bapa dan anak.

· Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan orang lebih tua daripadanya. Mereka perlu disedarkan bahawa guru adalah orang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu, manakala orang lebih tua adalah orang lebih berpengalaman daripadanya.

· Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik iaitu dengan melatih mereka supaya bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan kata yang baik. Ini kerana, kanak-kanak begitu sensitif dan mudah terikut-ikut terhadap apa yang didengarnya.

· Mendidik anak adab bergaul dengan rakan. Mereka harus diingatkan supaya tidak meninggi diri dan jangan sekali-kali menyakiti atau mengambil hak orang lain.

· Mengajar anak akan adab makan dan minum yang baik dan mengelakkan sikap tidak sopan sebaliknya mereka perlu dilatih dengan adab makan seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan selepas makan.

· Mengajar mereka dengan adab berpakaian yang bertujuan menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

· Mengajar adab tidur dan bangun dari tidur iaitu sebaik-baiknya mengadap kiblat, membersihkan diri sebelum tidur dan membaca doa sebelum dan selepas bangun tidur.

· Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas iaitu cara membuang air dan cara masuk ke dalam tandas seperti membaca doa, membelakangkan kiblat dan sebagainya.

Kesimpulannya, anak adalah amanah Allah yang perlu dididik dengan sebaiknya sejak mereka kecil supaya apabila besar kelak mereka menjadi anak salih dan sentiasa taat kepada kedua ibu bapanya.

Anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang berperanan mencorak dan melukiskan dengan warna menarik yang menjadi amalan dan cara hidup Islam.

0 comments:

Post a Comment