AKU CUMA HAMBA HINA LAGI BANYAK DOSA.TIDAK LAYAK BERGELAR PENCINTA_TARBIAH

Sesungguhnya sebaik-baik tarbiah adalah tarbiah Allah.

Semakin keliru dan bercelaru

Sukar untuk kita meramalkan apa akan berlaku kepada politik Perak selepas ini. Dahulu semasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari, ramai yang mempertikaikan keputusan itu.

Ramai yang dengan rela hati menjadi hakim dengan memutuskan pelantikan Zambry adalah sah, dan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sudah hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu.

Waktu itu masing-masing mencari buku Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, sibuk mengkaji di mana kuasa Sultan, di mana letaknya kuasa Menteri Besar.

Keadaan huru-hara mewarnai politik negeri itu. Nizar dilarang memasuki bangunan SUK, apatah lagi memasuki pejabatnya yang sudah disediakan khas untuk Zambry. Dia kemudian diarah keluar dari kediaman rasmi, malah kereta rasminya dan semua Exco Pakatan Rakyat turut dilelong.

Suasana lebih hangat apabila buat pertama kali dalam sejarah, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan di bawah pokok pada 3 Mac lalu. Peristiwa yang dianggap amat memalukan negara.

Selama hampir empat bulan Nizar kemudiannya bergerak ke seluruh ceruk rantau negeri Perak. Dari majlis kenduri kahwin, hinggalah menziarahi kematian, tanpa mengira bangsa dan agama Nizar mengambil peluang menjelaskan kepada rakyat Perak, apa yang telah dialaminya, malah beliau tegas menyatakan beliaulah Menteri Besar yang sah! Keluar masuk kampung perkara biasa bagi Nizar.

Jika itulah yang Nizar namakan perjuangan dan membela hak, nampaknya hak itu telah dikembalikan kepadanya. Sekali gus membasuh seluruh maruahnya yang tercalar selama empat bulan itu.

Dengan keputusan yang diumumkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim semalam, Nizar sudah boleh tersenyum puas. Walaupun hanya untuk seketika tetapi ia pastinya dapat memberi semangat untuknya melakukan strategi seterusnya.

Sesungguhnya, keputusan itu sesuatu yang mengejutkan. Saya yakin seminggu dua ini keadaan kembali tegang dan panas. Dan kita juga bakal melihat landskap politik di negeri itu sekali lagi akan berubah.

Sehingga catatan ini dibuat sekitar pagi ini saya tertanya-tanya adakah Nizar akan melakukan apa yang dia pernah diarah melakukannya ketika Zambry mengambi alih menjadi Menteri Besar dahulu. Perkembangan terbaru dijhabarkan Ir Nizar telah bersedia menghadap Sultan Perak.

Kini pastinya tumpuan Nizar kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan Rakyat yang mengisytiharkan keluar parti dan menyokong BN.

Mahu atau tidak, Nizar terpaksa terima hakikat bahawa keputusan hakim yang diumumkan belum selamat untuk beliau terus memegang jawatan itu. Mungkin juga pada sidang DUN akan datang, sekali lagi kita melihat Menteri Besar Perak bertukar tangan.

Bagi saya dalam apa juga cara sekali pun, suasana tegang ini perlu dikendurkan dalam penuh hemah.

Jika kata sepakat sukar dicari, eloklah diserahkan sahaja keputusan penentuan itu kepada rakyat. Itulah amalan demokrasi sebenar yang akan meredakan semula keadaan dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada pemimpin.

Biar rakyat yang menentukan siapa yang layak menjadi nakhoda bahtera yang dilayari. Walaupun ia akan membazir masa, tenaga dan wang ringgit, namun ada kalanya kita terpaksa akur bahawa itulah harga yang perlu kita bayar untuk sebuah keharmonian.

0 comments:

Post a Comment