AKU CUMA HAMBA HINA LAGI BANYAK DOSA.TIDAK LAYAK BERGELAR PENCINTA_TARBIAH

Sesungguhnya sebaik-baik tarbiah adalah tarbiah Allah.

Syor ulama kekal tunjang kepemimpinan Pas

PERCANGGAHAN pendapat mengenai golongan atau kelompok manakah lebih tepat untuk menerajui Pas dalam muktamar parti bulan depan kini kian menuju ke kemuncaknya. Jika Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Takiyudin Hasan, memberikan pendapat bahawa golongan ulama perlu menduduki kerusi presiden dan timbalan presiden, tidaklah menghairankan sangat masyarakat khususnya ahli Pas sendiri.

Tetapi yang menjadi kemusykilan kita ialah bagaimana tokoh ulama dalam Pas seperti Ahmad Awang, Tuan Ibrahim, Abdul Ghani Abd Rahman dan Mahfodz Mohamad boleh berlainan pendapat dan mengambil pendirian sebaliknya dengan mengatakan tiada dalam perlembagaan parti ahli yang bukan ulama tidak boleh menawarkan diri bertanding mana-mana jawatan terpenting dalam Pas.

Bagi saya, mereka seharusnya bersetuju dan senada dengan pendirian ulama dalam Pas seperti Datuk Dr Haron Din, Hashim Jasin, Harun Taib, Abd Halim Abd Rahman dan majoriti ulama dalam Pas untuk terus memartabatkan kepemimpinan ulama dalam menerajui hala tuju dan dasar perjuangan parti.


Walaupun dinafikan, masyarakat sudah pasti boleh membaca yang tersirat, mengapakah wujud kem pro-Anwar dalam Pas yang diterajui oleh kumpulan bukan ulama, tetapi profesional yang secara tradisinya menjadi pelengkap kepada kepemimpinan ulama dalam Pas.


Mengapa baru sekarang mereka mahu menawarkan diri untuk memimpin Pas dan membawa parti itu keluar daripada kepompong kecelaruan identiti. Adakah dengan berbaik sangka dengan Barisan Nasional atau Umno dan duduk berbincang semeja mengenai program muzakarah/muqabalah ke arah menyatu padukan umat Melayu Islam dianggap satu kecelaruan atau menyimpang hala tujunya?

Adakah idea kerajaan perpaduan yang diuar-uarkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sesuatu yang akan membawa mudarat atau manfaat jangka panjang kepada perpaduan Melayu Islam di Malaysia? Saya melihat saranan Abdul Hadi adalah satu idea mulia, mempunyai visi dan hala tuju jelas natijahnya demi memartabatkan kembali institusi Melayu Islam yang kian hari terkulai layu.

Inilah satu gagasan bijaksana daripada seorang ulama yang sudi menghulurkan salam persahabatan dan ukhwah kepada golongan sekular seperti Umno yang pernah satu ketika dulu dikatakan membuang Pas jauh dari sisi BN.

Saya menyanjung sikap tidak menyimpan dendam dan terus bersangka baik yang dimiliki Abdul Hadi, Nasharudin Mat Isa, Haron Din dan lain-lain yang mengetepikan segala perbezaan pendapat dalam politik demi mewujudkan satu usaha ampuh dan bermakna untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam di negara tercinta ini.

Namun, identiti Pas sebagai parti berteraskan kepemimpinan ulama tidak wajar disisihkan kerana dengan dasar itulah Pas menjadi satu-satunya parti Islam yang mampu berdiri sendiri dengan kekuatan yang tulen.

Jika Pas beralih angin dan memilih pemimpin utama daripada kumpulan pro-Anwar yang kebanyakannya tidak berpendidikan Islam secara formal, maka nanti Pas tidak ubah seperti Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletakkan doktrin sekular sebagai teras perjuangan.

Saya ingin mengajak ahli dan pimpinan Pas semua peringkat agar menilai dengan teliti hati serta minda terbuka mengenai baik buruknya memilih pemimpin bukan ulama untuk menentukan hala tuju parti nanti.

Memang benar setiap tindak-tanduk dan keputusan presiden dan timbalan presiden Pas khususnya akan dinilai dan ditapis oleh majlis syura/ulama Pas tetapi jika yang menjadi pimpinan utama parti Pas adalah juga ulama, maka risiko kesilapan membuat langkah dan perancangan sudah tentu akan dapat diminimumkan dan akan sentiasa selari dengan dasar syura parti memandangkan pemimpin berkenaan adalah insan bertaqwa, arif mengenai hukum hakam agama, aspek halal haram dan sebagainya.

Sebagai kesimpulannya, saya dengan ini menyarankan supaya Pas terus mengekalkan kepemimpinan ulama seperti saranan Menteri Besar Kelantan dan Kedah sebagai tunjang kepemimpinan parti dan kumpulan profesional seperti Husam Musa (pakar ekonomi), Khalid Samad (jurutera), Dr Hasan Ali (pakar motivasi) dan lain-lain sebagai pemimpin barisan kedua yang menjadi pelengkap kepada acuan perpaduan dalam Pas itu sendiri.

Janganlah bibit pergeseran dalam Pas bakal membawa kemusnahan kepada parti yang selama ini diterima baik oleh orang Islam dan bukan Islam di Malaysia. Untuk itu, utamakan kemantapan dalam Pas sendiri daripada terus hanyut dibawa arus mimpi sang rajuna yang tidak henti-henti mengolah skrip untuk membina sebuah istana impian yang entah bila akan menjadi kenyataan.

AHLI PAS SETIA,

Taman Melewar, Gombak.

0 comments:

Post a Comment